Dzulkefly Rasmi Persidangan Regulatori Kebangsaan 2026

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 1 Julai 2026 (The Capital Post) – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, hari ini merasmikan Persidangan Regulatori Kebangsaan (National Regulatory Conference, NRC) 2026 yang berlangsung di M Resort Hotel, Kuala Lumpur.

Persidangan yang berlangsung dari 30 Jun hingga 2 Julai itu dianjurkan bersama oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) dengan tema “RegTech: Driving Innovation and Efficiency in Regulatory”, menghimpunkan pakar kawal selia serta pemain industri dari dalam dan luar negara.

Pelbagai isu berkaitan teknologi regulatori dan kawal selia dibincangkan sepanjang persidangan, termasuk aplikasi kecerdasan buatan (AI) dan Agentic AI bagi meningkatkan kecekapan operasi kawal selia, pendigitalan sistem regulatori, serta evolusi kawal selia produk melibatkan kemas kini ICH, penilaian risiko kosmetik dan pematuhan standard halal bagi produk kosmetik serta tradisional.

Dalam ucapannya, Dzulkefly menggalakkan semua pihak agar terus berkongsi pandangan dan memperkukuh kerjasama dalam memanfaatkan teknologi regulatori (RegTech) serta mengamalkan piawaian kawal selia bertaraf antarabangsa. Menurut beliau, pendekatan itu bukan sahaja mampu meningkatkan kecekapan sistem, malah memperkukuh daya saing industri farmaseutikal tempatan sehingga berupaya menembusi pasaran global.

-Advertisement-

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada NPRA dan MPS atas penganjuran persidangan tersebut yang mencerminkan semangat kerjasama erat selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI. Beliau berharap NRC 2026 akan menjadi pemangkin kepada pembinaan ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih cekap, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perkhidmatan Farmasi) merangkap Penasihat NRC 2026, Dr. Azuana Ramli; Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur NRC 2026, Wan Noraimi Wan Ibrahim; Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Profesor Kehormat Amrahi Buang; Timbalan Pengarah Pusat Penyelarasan Regulatori dan Perancangan Strategik NPRA, Dr. Noraida Mohamad Zainoor, serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kesihatan. – The Capital Post.