AADK Tahan 195 Individu Positif Dadah Dalam Operasi Perdana

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEREMBAN 2 Julai 2026 (The Capital Post) – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan menahan 195 individu yang didapati positif pelbagai jenis dadah menerusi Operasi Perdana yang dilaksanakan selama tiga hari di empat daerah bermula 29 Jun hingga 1 Julai.

Operasi yang melibatkan 72 pegawai dan anggota AADK itu dijalankan serentak di Seremban, Jempol, Tampin dan Port Dickson sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membanteras penyalahgunaan dadah di negeri berkenaan.

Sepanjang operasi, seramai 262 individu ditahan untuk pemeriksaan, dengan 221 daripadanya menjalani saringan awal air kencing. Hasil saringan mendapati 195 individu positif dadah, manakala 39 individu yang gagal hadir mengikut syarat jamin turut berjaya dikesan dan ditahan bagi tindakan lanjut.

Dalam operasi sama, empat warga asing turut ditahan sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan dan tindakan mengikut peruntukan Akta Dadah Berbahaya 1952.

-Advertisement-

Salah satu serbuan yang dijalankan turut membawa kepada penahanan sepasang suami isteri berusia 45 dan 44 tahun selepas kedua-duanya didapati positif methamphetamine dan ketum.

Pemeriksaan lanjut di kediaman pasangan berkenaan mendapati dua anak mereka yang masing-masing berusia 10 dan 4 tahun berada di rumah tanpa bekalan elektrik. Susulan penemuan itu, kes melibatkan kedua-dua kanak-kanak tersebut telah dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan sewajarnya, manakala pasangan berkenaan bersama anak-anak mereka dibawa ke Pejabat AADK bagi urusan lanjut.

Operasi berkenaan turut disertai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainuddin Abdullah; Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan, Mahadzir Elias; serta Pengarah AADK Negeri Sembilan, Ruziliza Ibrahim. – The Capital Post