ASIA SELATAN & TENGGARA 3 Julai 2026, (The Capital Post) – Model tadbir urus penyertaan Malaysia terus mendapat pengiktirafan di peringkat serantau apabila pendekatan dasar berasaskan komuniti dibentangkan dalam bengkel antarabangsa berkaitan tadbir urus iklim dan kesihatan.
APPGM-SDG melalui Jabatan Solusi Dasar telah diwakili oleh Pengarahnya, Encik Paniirselvam Jayaraman, dalam Regional Workshop on Climate–Health Governance and Cooperation in South and Southeast Asia yang menghimpunkan wakil kerajaan, agensi antarabangsa, universiti serta pertubuhan masyarakat sivil dari 10 negara.
Bengkel tersebut menumpukan perbincangan terhadap integrasi dasar iklim dan kesihatan yang semakin kritikal dalam menghadapi cabaran perubahan iklim global, khususnya di rantau Asia yang berdepan risiko kesihatan awam, keselamatan makanan serta tekanan terhadap sistem sosial.
Dalam sesi pembentangan, APPGM-SDG mengetengahkan pendekatan dasar “bottom-up” yang melibatkan pelbagai pemegang taruh secara inklusif, selain menekankan pemerkasaan komuniti sebagai rakan strategik dalam proses penggubalan dasar. Pendekatan ini turut disokong oleh pelaksanaan projek mikro berimpak tinggi seperti inisiatif komuniti berdaya tahan iklim dan penggunaan produk mesra alam.
-Advertisement-
Perbincangan serantau turut memperlihatkan pelbagai model inovasi dasar dari negara lain termasuk Singapura dan India dalam kerjasama antara agensi, Bangladesh dalam pembiayaan iklim bersepadu merentasi kementerian, serta Filipina melalui “Bibingka Model” yang mengintegrasikan kerajaan tempatan ke dalam sistem dasar nasional.
Antara rumusan utama bengkel ialah keperluan memperkukuh hubungan antara kesihatan dan perubahan iklim, memperluas pendekatan pembiayaan bersama antara sektor, serta mempertingkat penggunaan data dan teknologi dalam membuat keputusan dasar secara lebih pantas dan berkesan.
Inisiatif ini mengukuhkan peranan Malaysia sebagai antara negara yang aktif dalam memperjuangkan tadbir urus inklusif di peringkat serantau, sekali gus memperlihatkan bagaimana pendekatan akar umbi mampu menyumbang kepada kerangka dasar iklim yang lebih mampan dan menyeluruh. – The Capital Post