Semarak Kampus UTM Dekatkan KPT Dengan Warga Universiti

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU 4 Julai 2026, (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan pendekatan turun padang menerusi Program Semarak Kampus di Universiti Teknologi Malaysia bagi membolehkan kepimpinan kementerian memahami secara langsung realiti kehidupan kampus serta keperluan sebenar warga universiti.

Program selama dua hari itu menyaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir bersama barisan kepimpinan KPT meluangkan masa di kampus melalui pelbagai aktiviti yang memberi ruang kepada interaksi lebih dekat dengan pensyarah, kakitangan dan mahasiswa. Pendekatan tersebut bertujuan mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai suasana pembelajaran serta cabaran yang dihadapi komuniti universiti.

Sepanjang program, YB Menteri dan delegasi turut menginap di kampus, menunaikan solat Subuh berjemaah, menyertai sesi telaah serta bersarapan bersama warga universiti sebelum meneruskan pelbagai pengisian yang menggalakkan komunikasi dua hala dalam suasana santai dan terbuka.

Hari kedua program diteruskan menerusi UTM Sihat Lestari Perdana yang menghimpunkan kira-kira 250 peserta terdiri daripada pensyarah, kakitangan dan mahasiswa. Aktiviti dimulakan dengan sesi regangan sebelum peserta menyertai briskwalk sejauh 2.7 kilometer dari Dataran Resak Kolej Tun Dr. Ismail ke Balai Cerap UTM, sekali gus membuka peluang kepada Menteri bertukar pandangan secara langsung dengan warga kampus.

-Advertisement-

Selain mempromosikan gaya hidup sihat, lawatan kerja itu turut melibatkan kunjungan ke Makmal Aero, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Sains serta beberapa fasiliti universiti yang memerlukan penyelenggaraan dan penaiktarafan. Tinjauan tersebut memberi peluang kepada kepimpinan KPT menilai sendiri keadaan infrastruktur serta mengenal pasti keperluan pembangunan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

Program Semarak Kampus di UTM mencerminkan komitmen KPT untuk terus mendengar, memahami dan bertindak berdasarkan keperluan sebenar warga universiti melalui pendekatan yang lebih inklusif, sekali gus memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara. – The Capital Post