Jika suatu ketika dahulu pekerjaan diukur melalui pejabat, meja dan waktu bekerja yang tetap, namun hari ini landskap pekerjaan telah berubah. Kemajuan teknologi digital membolehkan seseorang bekerja hanya dengan sebuah telefon pintar dan capaian internet. Lihat sahaja hari ini hampir mustahil untuk kita melalui jalan raya tanpa melihat motosikal penghantar makanan atau kenderaan e-hailing yang sibuk memenuhi permintaan pengguna. Apa yang dahulunya dianggap pekerjaan sampingan kini berkembang menjadi sumber pendapatan utama bagi sebahagian besar rakyat. Di jalan raya, pekerja gig membawa makanan dan penumpang. Dalam ekonomi negara, mereka membawa perubahan.
Perubahan ini bukan berlaku secara kebetulan. Ledakan teknologi digital, perubahan gaya hidup pengguna dan keperluan kepada perkhidmatan yang pantas telah merancakkan suasana ekonomi gig. Pekerja gig ini terlibat dalam pelbagai bentuk pekerjaan gig, sama ada secara sepenuh masa mahupun sambilan.
Daripada perspektif ekonomi, perkembangan ekonomi gig mencerminkan proses transformasi pasaran buruh yang semakin dipengaruhi oleh pendigitalan dan ekonomi platform. Perubahan ini bukan sahaja mengubah corak pekerjaan tradisional, malah mewujudkan bentuk hubungan kerja yang lebih fleksibel serta berasaskan permintaan semasa. Justeru, pekerja gig kini dilihat sebagai sebahagian daripada perubahan struktur ekonomi yang sedang membentuk semula dunia pekerjaan pada abad ke-21.
Bagi sesetengah individu, ekonomi gig merupakan sumber pendapatan tambahan. Namun, bagi ramai yang lain, pendapatan daripada ekonomi gig inilah yang memastikan bil bulanan berbayar, komitmen kewangan dapat dipenuhi dan kehidupan dapat diteruskan. Fleksibiliti masa dan kebebasan memilih pekerjaan menjadi tarikan utama, khususnya dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Walau bagaimanapun, fleksibiliti tidak semestinya menjamin keselamatan. Di sebalik kebebasan yang dinikmati, pekerja gig sering berhadapan ketidaktentuan pendapatan, risiko kemalangan, ketiadaan perlindungan pekerjaan dan jaminan sosial yang terhad. Hakikat inilah yang mendorong kerajaan memperkenalkan dan melaksanakan Akta Pekerja Gig 2025 sebagai langkah memperkukuh perlindungan dan kebajikan mereka.
Pelaksanaan akta ini merupakan satu langkah penting dalam mengiktiraf peranan dan sumbangan pekerja gig dalam ekonomi negara. Namun, dalam landskap pekerjaan yang sentiasa berubah, perlindungan yang bermakna tidak hanya diukur melalui kewujudan undang-undang, tetapi juga melalui jaminan kebajikan, pendapatan yang adil dan peluang untuk meningkatkan taraf kehidupan.
Walaupun pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 dilihat sebagai satu perkembangan yang positif, realitinya dunia pekerjaan digital berkembang jauh lebih pantas berbanding proses penggubalan dasar. Kemunculan kecerdasan buatan (AI), penggunaan data raya dan sistem automasi semakin mempengaruhi cara platform digital beroperasi. Keadaan ini mewujudkan cabaran baharu yang melangkaui isu perlindungan kebajikan semata-mata, sebaliknya melibatkan persoalan kuasa, kawalan dan keadilan dalam ekosistem pekerjaan digital.
-Advertisement-
Cabaran terbesar ekonomi gig pada masa hadapan bukanlah kekurangan pekerjaan. Sebaliknya, ialah apabila pendapatan, peluang pekerjaan dan penilaian prestasi semakin ditentukan oleh algoritma platform yang tidak difahami oleh pekerja itu sendiri. Sudah tiba masanya kerajaan membangunkan satu kerangka dasar yang lebih menyeluruh. Ketelusan algoritma, perlindungan data peribadi, pembangunan kemahiran digital dan peluang mobiliti kerjaya perlu diberi perhatian yang sama penting dengan perlindungan kebajikan.
Dalam keghairahan mengejar kemajuan teknologi, pekerja gig tidak boleh dibiarkan bergantung sepenuhnya kepada keputusan algoritma platform yang menentukan pendapatan, tugasan dan prestasi mereka. Teknologi seharusnya menjadi alat yang memperkasakan manusia, bukannya mekanisme yang semakin mengecilkan suara pekerja. Dalam perspektif Islam, pekerjaan yang halal dan dilakukan dengan amanah merupakan satu bentuk ibadah. Rasulullah SAW bersabda bahawa tiada makanan yang lebih baik daripada hasil usaha tangan sendiri. Nilai usaha, kejujuran dan tanggungjawab yang menjadi asas kepada ekonomi gig hari ini sebenarnya selari dengan prinsip yang telah lama ditekankan dalam Islam.
Pekerja gig tidak seharusnya hanya dilihat sebagai penghantar makanan, pemandu e-hailing atau pekerja platform digital semata-mata. Hakikatnya, golongan ini merupakan wajah ekonomi baharu negara yang berada di barisan hadapan dalam memastikan kemudahan teknologi dapat dinikmati oleh masyarakat. Di sebalik setiap pesanan yang diterima, perjalanan yang ditempah dan perkhidmatan yang disediakan, terdapat sumbangan besar pekerja gig yang menjadikan ekonomi digital Malaysia terus bergerak dan berkembang.
Sejarah menunjukkan bahawa setiap perubahan besar dalam dunia pekerjaan sentiasa membawa peluang dan cabaran yang tersendiri. Ekonomi gig tidak terkecuali. Persoalannya bukan lagi sama ada perubahan itu akan berlaku, tetapi bagaimana kita memastikan perubahan tersebut memberi manfaat yang adil kepada semua pihak. Jawapan kepada persoalan inilah yang akan menentukan bentuk dunia pekerjaan pada masa hadapan. Akhir kata, di sebalik aplikasi, data dan algoritma, dunia pekerjaan tetap berpusat pada manusia. Selagi nilai kemanusiaan terus menjadi pertimbangan utama, setiap perubahan yang berlaku akan lebih bermakna kepada masyarakat.
Ditulis oleh Ilhaamie Abdul Ghani Azmi, Profesor di Jabatan Pengurusan dan Kewangan Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Pandangan yang dikemukakan adalah milik penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian The Capital Post.
