JOHOR BAHRU 5 Julai 2026 (The Capital Post) – Angkatan Muda Harapan (AMH) menyifatkan manifesto Barisan Nasional (BN) Johor sebagai kurang menampilkan pembaharuan yang signifikan apabila sebahagian besar kandungannya dilihat hanya meneruskan dasar serta program sedia ada tanpa menawarkan hala tuju baharu kepada rakyat bagi tempoh lima tahun akan datang.
Pengarah Komunikasi AMH, Ammar Atan berkata, manifesto seharusnya berfungsi sebagai dokumen yang menggariskan perancangan masa depan dan bukannya mengulangi pencapaian atau inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan. Menurut beliau, rakyat kini lebih memerlukan penyelesaian baharu terhadap cabaran semasa berbanding pengulangan komitmen terdahulu.
Beliau berkata, hasil penelitian terhadap manifesto BN Johor mendapati banyak cadangan menggunakan pendekatan seperti meneruskan, memperluas, memperkukuh dan menambah baik program sedia ada. Keadaan itu, katanya, memberi gambaran bahawa manifesto berkenaan lebih tertumpu kepada kesinambungan dasar berbanding memperkenalkan pembaharuan yang mampu membawa perubahan besar kepada negeri itu.
Walaupun mengiktiraf terdapat beberapa cadangan yang positif melibatkan pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), ekonomi digital, pelaburan, pelancongan serta kebajikan rakyat, beliau berpendapat manifesto tersebut masih belum menjawab persoalan mengenai idea baharu yang benar-benar mampu memacu Johor ke tahap pembangunan seterusnya.
Menurut Ammar, Johor kini berdepan pelbagai cabaran baharu termasuk persaingan menarik pelaburan asing yang semakin sengit, perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mengubah landskap pekerjaan, peningkatan kos sara hidup serta keperluan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk golongan muda.
-Advertisement-
Sehubungan itu, beliau berpandangan negeri berkenaan memerlukan dasar yang lebih berani, inovatif dan berpandangan jauh bagi memastikan Johor terus kekal berdaya saing serta mampu memenuhi keperluan rakyat dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.
Beliau turut menegaskan bahawa manifesto bukan sekadar laporan pencapaian kerajaan, sebaliknya perlu menjadi komitmen jelas mengenai pembaharuan yang akan dilaksanakan serta manfaat yang bakal dinikmati rakyat pada masa hadapan.
Tambah beliau, Johor mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai negeri paling maju di Malaysia, namun aspirasi itu memerlukan pendekatan baharu dan bukan sekadar mengulangi dasar sedia ada. Katanya, rakyat Johor berhak menerima sebuah manifesto yang menawarkan visi lebih segar dan mampu membawa negeri itu ke tahap pembangunan yang lebih tinggi. – The Capital Post