KUALA LUMPUR 6 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan bahawa dasar kemasukan pelajar antarabangsa ke institusi pendidikan tinggi negara tidak sama sekali menafikan hak atau mengurangkan peluang pelajar tempatan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk memperkukuh daya saing universiti di peringkat global.
Kenyataan itu dibuat sebagai maklum balas terhadap dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri Jitra, Dr. Haim Hilman Abdullah, yang sebelum ini mengaitkan kehadiran pelajar antarabangsa dengan pengurangan peluang kemasukan pelajar tempatan ke Universiti Awam. KPT menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak tepat dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Menurut kementerian, agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi telah dilaksanakan secara konsisten sejak lebih dua dekad lalu selaras dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara 2007, dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia. Kini, Malaysia menerima pelajar dari lebih 180 negara hasil pengiktirafan terhadap kualiti akademik, penyelidikan serta reputasi universiti tempatan.
KPT menjelaskan bahawa sistem pengambilan pelajar di Universiti Awam dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu program prasiswazah dan pascasiswazah, yang mempunyai fungsi serta sasaran berbeza. Pengambilan pelajar antarabangsa di peringkat prasiswazah dilaksanakan selepas keutamaan diberikan kepada pelajar tempatan melalui saluran utama kemasukan, manakala peringkat pascasiswazah pula dibuka berdasarkan kapasiti penyelidikan universiti.
Berdasarkan data rasmi sehingga 31 Disember 2025, jumlah pelajar antarabangsa di Universiti Awam hanya merangkumi sebahagian kecil daripada keseluruhan enrolmen, iaitu di bawah 10 peratus. Majoriti pelajar antarabangsa juga berada di peringkat pascasiswazah, sekali gus tidak bersaing secara langsung dengan pelajar tempatan di peringkat kemasukan asas seperti lepasan SPM, STPM, matrikulasi dan diploma.
-Advertisement-
Kementerian turut menjelaskan bahawa Universiti Penyelidikan negara berperanan sebagai pusat kecemerlangan akademik dan penyelidikan global, dengan kehadiran pelajar antarabangsa menyumbang kepada pengukuhan ekosistem penyelidikan, jaringan akademik serta peningkatan kedudukan universiti dalam penarafan antarabangsa. Di lima universiti penyelidikan utama, sebahagian besar pelajar antarabangsa juga berada di peringkat pascasiswazah.
Selain itu, pelajar antarabangsa yang belajar di Malaysia tidak menerima subsidi kerajaan, sebaliknya membayar yuran penuh serta melalui proses saringan akademik yang ketat. Kehadiran mereka turut menyumbang kepada kewangan universiti, pembangunan kemudahan pembelajaran serta peningkatan kolaborasi penyelidikan global.
KPT turut menegaskan bahawa Malaysia kekal menjadi destinasi pilihan pelajar antarabangsa termasuk dari China, yang merupakan antara penyumbang terbesar kemasukan pelajar asing ke negara ini. Perkara itu turut mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap kualiti sistem pendidikan tinggi Malaysia yang diiktiraf di peringkat global.
Sehubungan itu, KPT menegaskan bahawa pelajar tempatan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan, dan dasar pengantarabangsaan akan terus dilaksanakan secara berhati-hati bagi memastikan sistem pendidikan tinggi negara kekal kompetitif tanpa menjejaskan akses rakyat tempatan. – The Capital Post