KUALA LUMPUR 7 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan memperkukuh pengurusan pekerja asing melalui pengambilalihan operasi Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing (One Stop Center – OSC) bagi memastikan tadbir urus yang lebih cekap, telus dan berkesan.
Langkah tersebut dilaksanakan susulan keputusan Jemaah Menteri pada 1 Julai 2026 yang menetapkan pengurusan OSC diserahkan kepada KESUMA sebagai usaha memperkemas proses berkaitan tenaga kerja asing di Malaysia.
Bagi memastikan kelancaran permohonan kuota pekerja asing, KESUMA akan memperkenalkan beberapa inisiatif strategik termasuk penggunaan modul eQuota menerusi Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS) sebagai platform digital bersepadu bagi mengurus permohonan secara lebih sistematik.
Pelaksanaan sistem berkenaan dijangka memudahkan urusan majikan melalui proses permohonan dalam talian, penyusunan jadual temu duga yang lebih teratur serta mengurangkan kesesakan urusan di kaunter OSC. KESUMA turut akan memproses semula kira-kira 22,476 permohonan manual yang masih tertangguh menggunakan sistem FWCMS.
-Advertisement-
Dalam masa sama, kementerian akan memastikan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan terus diberi keutamaan melalui portal MYFutureJobs, selain memastikan pematuhan terhadap Seksyen 60K Akta Kerja 1955 sebelum sebarang permohonan kuota pekerja asing dipertimbangkan.
Bagi memperkukuh aspek pengurusan dan pemantauan, KESUMA akan menubuhkan Bahagian Pengurusan Pekerja Asing yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal dasar, operasi serta naziran OSC. Kementerian turut akan meneliti cadangan penubuhan Pusat Transit Pekerja Asing melalui sesi libat urus bersama negara sumber dengan mengambil kira amalan terbaik antarabangsa – The Capital Post