GENEVA 9 Julai 2026, (The Capital Post) – Malaysia menegaskan komitmennya dalam memperkukuh pembangunan ekosistem komunikasi yang inklusif, dipercayai dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan menerusi penyertaan dalam World Summit on the Information Society (WSIS) Forum 2026 yang berlangsung di Geneva, Switzerland.
Komitmen tersebut disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah ketika menyampaikan intervensi Malaysia dalam Spotlight Session for Strategic Partners, yang menghimpunkan rakan strategik antarabangsa bagi membincangkan hala tuju pembangunan komunikasi dan teknologi digital global.
Dalam ucapannya, beliau mengetengahkan pelbagai inisiatif Malaysia yang memfokuskan kepada pembangunan kapasiti, pengukuhan tadbir urus serta usaha meningkatkan tahap kepercayaan terhadap ekosistem maklumat negara sejajar dengan perkembangan teknologi semasa.
-Advertisement-
Malaysia turut menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama dengan International Telecommunication Union (ITU) serta rakan-rakan antarabangsa dalam merealisasikan aspirasi World Summit on the Information Society (WSIS), khususnya ke arah pembangunan digital yang mampan dan inklusif.
Turut hadir pada forum berkenaan ialah Timbalan Wakil Tetap di Perwakilan Tetap Malaysia ke Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, Suraya Ahmad Pauzi; Penasihat Kanan Hal Ehwal Antarabangsa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Dato’ Sri Mohd Annuar Zaini; Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali; Pengurus Kanan National Technology & Innovation Sandbox (NTIS), Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Ahmad Rizal Azwir; serta Penolong Setiausaha Bahagian Teknologi Komunikasi, Mohd Akmal Radzuan. – The Capital Post