KUALA LUMPUR 9 Julai 2026 (The Capital Post) – Malaysia terus memperkukuh hubungan strategik bersama syarikat teknologi global menerusi perbincangan antara kerajaan dan SAP, peneraju dunia dalam penyelesaian aplikasi perusahaan serta kecerdasan buatan (AI), bagi menyokong agenda transformasi digital negara.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Presiden Global Kejayaan Pelanggan SAP bagi rantau Eropah, Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika, Emanuelle (Manos) Raptopoulos, yang hadir mewakili SAP dalam usaha meneroka peluang kerjasama lebih luas bersama Malaysia.
Pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada usaha mempercepat penggunaan teknologi digital dalam sektor awam dan swasta, selain mempertingkat kecekapan penyampaian perkhidmatan serta membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi, khususnya melibatkan golongan belia dan graduan baharu.
-Advertisement-
Kerajaan melihat kerjasama bersama pemain teknologi antarabangsa seperti SAP sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh ekosistem digital negara, meningkatkan daya saing ekonomi serta menyediakan lebih banyak peluang pembangunan bakat sejajar dengan keperluan industri masa hadapan.
Inisiatif strategik seumpama ini diyakini mampu menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan melalui penerapan teknologi inovatif dan mempercepat perjalanan Malaysia ke arah negara digital yang kompetitif di peringkat global. – The Capital Post