PUTRAJAYA 9 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan sebanyak RM14.4 juta bagi pelaksanaan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada murid Tingkatan 6 bagi tahun 2026 sebagai usaha membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga.
Pelaksanaan bantuan tersebut melibatkan seramai 52,810 murid Tingkatan 6 baharu yang telah mendaftar pada 8 Jun 2026 di 616 Pusat Tingkatan Enam (PTE) seluruh negara. Setiap murid yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM150 seorang.
Agihan BAP kepada murid Tingkatan 6 baharu dilaksanakan oleh pihak PTE secara berperingkat bermula 28 Jun 2026 sehingga 27 Julai 2026 bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada penerima yang ditetapkan.
Secara keseluruhan, seramai 96,013 murid Tingkatan 6 merangkumi pelajar baharu dan sedia ada akan menerima manfaat daripada inisiatif tersebut pada tahun ini dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM14,401,950.
-Advertisement-
KPM memaklumkan peluasan pemberian BAP kepada pelajar Tingkatan Enam yang diperkenalkan sejak tahun lalu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh akses pendidikan serta membantu keluarga membuat persediaan keperluan persekolahan anak-anak.
Inisiatif berkenaan turut menjadi sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memperkasakan pendidikan Tingkatan Enam sebagai laluan penting ke peringkat pengajian tinggi. – The Capital Post