JAKARTA, 10 Julai 2026 (The Capital Post) – Malaysia dan Indonesia memperkukuh hubungan strategik dalam bidang alam sekitar dan perubahan iklim menerusi pertemuan dua hala antara Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup, dan Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia, Mohammad Jumhur Hidayat.
Pertemuan tersebut menjadi platform penting bagi membincangkan isu-isu alam sekitar yang berkepentingan bersama, termasuk usaha mempertingkatkan kerjasama serantau dalam mendepani cabaran perubahan iklim.
Dalam pertemuan itu, Mohammad Jumhur memaklumkan bahawa Indonesia kini berdepan peningkatan titik panas, khususnya di Sumatera dan Kalimantan. Namun, tindakan pantas serta bersepadu oleh pelbagai agensi dengan sokongan komuniti menerusi inisiatif Masyarakat Peduli Api berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak, sekali gus mengurangkan risiko jerebu rentas sempadan yang boleh menjejaskan negara jiran termasuk Malaysia.
Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai usaha memperluas kerjasama dalam bidang alam sekitar, perubahan iklim dan pasaran karbon. Indonesia turut menyatakan kesediaan untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang-bidang tersebut.
-Advertisement-
Malaysia dan Indonesia turut menegaskan komitmen bersama sebagai negara anggota ASEAN untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam memelihara alam sekitar, meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim serta memacu agenda pembangunan rendah karbon demi kesejahteraan rakyat di rantau ini.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Arthur Joseph Kurup, kerjasama erat antara kedua-dua negara diyakini mampu memperkukuh agenda kelestarian ASEAN serta meningkatkan keupayaan rantau ini dalam menangani cabaran alam sekitar secara bersama. -The Capital Post.