Anwar lancar inisiatif baharu perkukuh keselamatan siber negara

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA, 10 Julai 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Bulan Keselamatan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dengan melancarkan dua inisiatif strategik bagi memperkukuh tahap keselamatan siber negara.

Dua inisiatif berkenaan ialah Dasar Kriptografi Negara (MyKriptografi) bersama Pelan Tindakan MyKriptografi 2026–2030 serta Artificial Intelligence Systems Cybersecurity Framework (AISCF) yang dibangunkan di bawah naungan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Pelancaran kedua-dua inisiatif itu merupakan langkah kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan siber negara, khususnya dalam menghadapi cabaran teknologi yang semakin kompleks serta ancaman digital yang berkembang.

-Advertisement-

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Agensi Keselamatan Siber Negara dengan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd., serta antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Agensi Keselamatan Siber Negara dan IBM (Malaysia) Sdn. Bhd.

Menurut satu hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Komunikasi, majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah MKN, YM Raja Dato’ Nushirwan Zainal Abidin; serta Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din. -The Capital Post.