JOHOR 10 Julai 2026, (The Capital Post) – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong menghadiri Majlis Perhimpunan Menteri Bersama Warga Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensi di Negeri Johor sebagai usaha memperkukuh kerjasama serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Jementah itu menjadi platform kepada warga KUSKOP dan agensi di Johor untuk mendengar amanat kementerian, selain berinteraksi secara langsung dengan menteri mengenai pelbagai isu berkaitan pembangunan usahawan dan gerakan koperasi.
Dalam sesi tersebut, Steven Sim turut mendapatkan maklum balas serta pandangan daripada warga di lapangan bagi menambah baik pelaksanaan dasar dan inisiatif kementerian agar lebih responsif terhadap keperluan usahawan serta masyarakat.
-Advertisement-
Beliau menegaskan bahawa sesi libat urus seumpama itu penting dalam memperkukuh sinergi antara KUSKOP dan agensi di bawahnya, sekali gus memastikan agenda pembangunan keusahawanan serta koperasi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud; Ketua Pegawai Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia, Noor Aeiza Hassan; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) TEKUN Nasional, Md Ahirun Ruba’ain; Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) KUSKOP, Mohd Asri Mohamed serta wakil-wakil agensi KUSKOP di negeri Johor. – The Capital Post