BUKIT KAYU HITAM 10 Julai 2026, (The Capital Post) – Persiapan akhir bagi Majlis Perasmian Jajaran Jalan Raya Baharu yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Malaysia dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand terus diperkemas menjelang majlis perasmian yang dijadual berlangsung esok.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr. Awang Alik Jeman telah meninjau kesiapsiagaan lokasi bersama delegasi dari Thailand bagi memastikan setiap aspek penyelarasan, logistik dan pelaksanaan majlis berada dalam keadaan terbaik.
Lawatan tersebut turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN, Ainah Mohd Soon; Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan, Ahmad Nizam Norali; Setiausaha Bahagian Pembangunan, Ahmad Fuad Apandi; Ketua Polis Kedah, CP Datuk Adzli Abu Shah; Timbalan Ketua Polis Kedah, DCP Baderulhisham Baharudin serta barisan pegawai kanan kementerian, jabatan dan agensi berkaitan.
-Advertisement-
Persiapan yang dijalankan mencerminkan komitmen bersama Malaysia dan Thailand dalam memastikan majlis perasmian berlangsung lancar, di samping memperkukuh penyelarasan antara agensi kedua-dua negara di pintu masuk utama sempadan.
Pembukaan jajaran jalan raya baharu itu dijangka meningkatkan kecekapan pergerakan rentas sempadan, memperkukuh hubungan dua hala serta memudah cara urusan perdagangan, pelancongan dan mobiliti rakyat antara Malaysia dan Thailand. – The Capital Post