KUALA LUMPUR 14 Julai 2026, (The Capital Post) – Kementerian Pertahanan (MINDEF) terus mempergiat usaha memperkukuh kebajikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pelaksanaan Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027 yang bertujuan membantu golongan veteran serta waris yang memerlukan sokongan kebajikan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali berkata, agenda memperkasakan kesejahteraan Veteran ATM merupakan antara fokus utama dalam Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026–2030 yang dilancarkan pada 25 Jun 2026. Usaha tersebut melibatkan pendekatan menyeluruh merangkumi pembangunan kerjaya, keusahawanan serta bantuan kebajikan.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi membantu veteran menyesuaikan diri selepas tamat perkhidmatan, termasuk Program PROTEGE-PERWIRA (PROWIRA), Work-Based Learning (WBL), latihan peningkatan kemahiran semula (reskilling) dan kemahiran lanjutan (upskilling), Program JanaVeteran serta kerjasama strategik bersama kementerian, agensi kerajaan dan sektor swasta.
Walaupun pelbagai bentuk bantuan telah disediakan, masih terdapat Veteran ATM dan ahli keluarga mereka yang memerlukan bantuan segera, khususnya golongan yang mengalami kecederaan kekal, menghidap penyakit kronik, uzur atau kehilangan tempat bergantung.
-Advertisement-
Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027 yang membawa tema “1 Rakyat 1 Ringgit, Demi Pahlawanku” menjadi wadah untuk menggalakkan penyertaan masyarakat dalam membantu meningkatkan kebajikan veteran serta keluarga mereka. Program Kesedaran dan Kick-Off Pra-Peluncuran kempen tersebut turut berperanan sebagai langkah awal dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap pengorbanan yang telah dicurahkan oleh warga pertahanan negara.
Pada kempen terdahulu bagi tahun 2025/2026, hampir RM3.3 juta berjaya dikumpulkan, manakala bantuan berjumlah kira-kira RM800,000 telah disalurkan kepada 2,487 veteran dan ahli keluarga mereka pada tahun 2025. Namun, jumlah tersebut masih perlu dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan lebih 223,000 Veteran ATM yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM).
Orang ramai boleh menyumbang kepada Kempen Tabung Pahlawan melalui pelbagai saluran termasuk sumbangan kewangan, pembelian barangan promosi kempen, tabung fizikal di lokasi terpilih serta penyertaan dalam aktiviti amal anjuran JHEV ATM. Sokongan berterusan daripada masyarakat amat penting bagi memastikan kebajikan golongan yang pernah berkorban mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara terus terbela. – The Capital Post