PETRA Perkasa Kesejahteraan Warga Kerja

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 14 Julai 2026, (The Capital Post) – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) telah menganjurkan Program Sinergi Sejahtera: Integrasi Kesihatan Mental dan Fizikal sebagai usaha memperkukuh kesejahteraan warga kerja melalui pendekatan yang menggabungkan aspek kesihatan mental dan fizikal.

Program yang berlangsung di Dewan Baiduri, Menara PETRA itu menghimpunkan seramai 90 pegawai dan kakitangan daripada pelbagai bahagian, unit, jabatan serta agensi di bawah kementerian. Inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keseimbangan kesihatan dalam membentuk persekitaran kerja yang lebih sihat dan produktif.

Pengisian program menampilkan YBrs. Prof. Dr. Muhammad Aziz Shah Mohamad Arip, Pensyarah Jabatan Bimbingan dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang menyampaikan perkongsian berkaitan kesihatan mental. Turut menjayakan program ialah Coach Hanif Loid, pempengaruh media sosial dan selebriti kecergasan, yang mengendalikan sesi mengenai kesihatan fizikal dan amalan gaya hidup aktif.

-Advertisement-

Sepanjang program, peserta didedahkan dengan pelbagai pendekatan untuk mengurus tekanan secara positif, meningkatkan daya tahan diri serta mengamalkan gaya hidup sihat bagi menyokong kesejahteraan diri dan prestasi di tempat kerja. Perkongsian tersebut turut memberi pengetahuan serta kemahiran yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan harian dan persekitaran profesional.

Penganjuran Program Sinergi Sejahtera berjaya mencapai objektifnya dalam memperkasakan kesedaran warga PETRA terhadap kepentingan menjaga keseimbangan kesihatan mental dan fizikal. Kementerian berharap ilmu yang diperoleh dapat diterjemahkan dalam amalan seharian sekali gus menyokong pembentukan budaya kerja yang lebih harmoni, berdaya tahan dan produktif. – The Capital Post