BANGI 15 Julai 2026, (The Capital Post) – KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan mengiringi isteri TYT Presiden Republik Singapura, Puan Jane Ittogi Shanmugaratnam, melawat Pusat Perkhidmatan Autisme (PPA) Bangi sempena Lawatan Negara Presiden Republik Singapura, TYT Tharman Shanmugaratnam ke Malaysia.
Sepanjang lawatan tersebut, delegasi dibawa meninjau beberapa kemudahan utama di PPA Bangi termasuk Bilik Activities of Daily Living (ADL), Bilik Terapi Carakerja (Occupational Therapy) dan gim. Delegasi turut diberikan penerangan mengenai pendekatan intervensi yang dilaksanakan, latihan kemahiran harian serta usaha membangunkan potensi individu autisme secara menyeluruh.
Sehingga Jun 2026, seramai 93,199 individu autisme telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Peningkatan jumlah pendaftaran itu mencerminkan keperluan untuk terus memperkukuh penyediaan perkhidmatan autisme yang berkualiti, menyeluruh dan mudah diakses oleh masyarakat.
-Advertisement-
Pusat Perkhidmatan Autisme Bangi yang diuruskan menerusi kerjasama strategik antara sektor awam, National Autism Society of Malaysia (NASOM) dan PDK Damansara Damia menawarkan pelbagai perkhidmatan intervensi serta terapi kepada individu autisme. Selain itu, pusat berkenaan turut berperanan sebagai pusat rujukan nasional dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan autisme di seluruh negara.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat akan terus memastikan kebajikan serta keperluan setiap individu autisme sentiasa diberi perhatian agar mereka berpeluang mencapai potensi terbaik dan menikmati kehidupan yang lebih berkualiti selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk membina masyarakat yang lebih inklusif, penyayang dan saksama. – The Capital Post