KESUMA Perkukuh Kerjasama TVET ASEAN

Estimate Reading Time: < 1 minute

MANILA 22 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) terus memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi penyertaan Malaysia dalam High-Level 5th ASEAN TVET Council (ATC) Regional Policy Dialogue yang berlangsung di Manila, Filipina, pada 21 Oktober.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KESUMA, YBrs. Encik Sutekno bin Ahmad Belon, dalam dialog peringkat tinggi yang dianjurkan oleh Technical Education and Skills Development Authority (TESDA), Filipina. Program tersebut menghimpunkan wakil pelbagai negara serta badan antarabangsa untuk membincangkan dasar dan hala tuju pembangunan TVET di rantau ASEAN.

Mengangkat tema “Navigating Our Future, Together” dengan subtema “ASEAN: Skilled for the Future”, dialog berkenaan memberi tumpuan kepada beberapa agenda utama, termasuk transformasi digital, pembangunan kemahiran hijau serta peluasan akses inklusif kepada latihan kemahiran dan peluang pekerjaan.

Perbincangan tersebut bertujuan meneroka pendekatan serantau bagi memastikan sistem TVET kekal relevan dengan perubahan teknologi dan keperluan industri. Penekanan terhadap kemahiran masa hadapan juga penting bagi membantu tenaga kerja menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pekerjaan serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

-Advertisement-

Malaysia turut berkongsi pengalaman dan pendekatan negara dalam sesi dialog bertajuk “Responding to Digital Transformation” yang disampaikan oleh Ketua Unit Koordinasi TVET KESUMA, Ts. Junnaina binti Husin Chua. Perkongsian itu memberi ruang untuk mengetengahkan perspektif Malaysia mengenai transformasi digital dalam pembangunan latihan kemahiran.

Penyertaan Malaysia dalam dialog tersebut mencerminkan usaha berterusan KESUMA untuk memperkukuh kerjasama dengan negara anggota ASEAN dalam membangunkan sistem TVET yang responsif terhadap perubahan semasa. Pertukaran pengetahuan dan pengalaman antara negara turut membuka peluang kepada penyelarasan strategi bagi memperluas akses latihan serta meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja.

Melalui penglibatan dalam platform serantau ini, Malaysia terus menyokong agenda TVET ASEAN bagi membangunkan tenaga kerja yang berkemahiran, inklusif dan bersedia menghadapi keperluan pekerjaan masa hadapan – The Capital Post