PUTRAJAYA, 16 Julai 2026 (The Capital Post) – Jabatan Bekalan Air (JBA) menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) melalui PUSPANITA Cawangan Kecil JBA dengan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada warga jabatan dan masyarakat di Dewan Damar Sari 3, Blok F8, Kompleks F.
Program tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bekalan Air merangkap Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil JBA, YBrs. Ir. Ts. Anita Mohamed Shafie, yang turut mengadakan sesi lawatan ke setiap ruang aktiviti bagi meninjau pelaksanaannya.
-Advertisement-
Antara pengisian program termasuk Kempen Derma Darah, pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan gigi, demonstrasi dan ceramah penjagaan gigi kanak-kanak, pertandingan mewarna serta pelbagai aktiviti pendidikan dan hiburan untuk kanak-kanak.
Penganjuran program ini bertujuan menyemai budaya prihatin, menggalakkan amalan hidup sihat serta memperkukuh semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga Jabatan Bekalan Air.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Jabatan Bekalan Air, program CSR tersebut mencerminkan komitmen jabatan dalam memupuk kesejahteraan komuniti melalui pelbagai inisiatif kesihatan, pendidikan dan kebajikan.- The Capital Post.