Menteri Ekonomi Tinjau Projek Strategik dan Kejayaan Program IPR di Perlis

Estimate Reading Time: < 1 minute

PERLIS 16 Julai 2026 (The Capital Post) – Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir meneruskan usaha memperkukuh pembangunan ekonomi negara menerusi lawatan kerja rasmi ke Perlis dengan meninjau kemajuan beberapa projek berimpak tinggi serta inisiatif pemerkasaan rakyat yang sedang dilaksanakan di negeri itu.

Dalam lawatan tersebut, beliau diberi taklimat mengenai perkembangan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) yang meliputi kawasan seluas 1,215 hektar. Projek yang diselaraskan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) itu dijangka menjadi pemacu baharu kepada pertumbuhan ekonomi Perlis menerusi pembangunan hab pelaburan industri hijau dan halal yang mampu menarik pelaburan bernilai tinggi serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Selain itu, Akmal Nasrullah turut meninjau pelaksanaan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) INSAN yang menggunakan mesin layan diri di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kampus Ulu Pauh. Program berkenaan diusahakan oleh usahawan tempatan sebagai salah satu pendekatan meningkatkan pendapatan golongan rentan melalui penyediaan peluang keusahawanan di lokasi strategik.

-Advertisement-

Pelaksanaan IPR INSAN menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan apabila usahawan yang mengendalikan mesin layan diri di kawasan UniMAP dan Arau berjaya merekodkan hasil jualan hampir RM8,000 sebulan. Pencapaian tersebut mencerminkan keberkesanan inisiatif kerajaan dalam membantu meningkatkan pendapatan peserta sekali gus memperkukuh kedudukan ekonomi mereka.

Kementerian Ekonomi menegaskan komitmennya untuk memastikan pembangunan infrastruktur berskala besar berjalan seiring dengan agenda memperkasa ekonomi rakyat, sekali gus mewujudkan pertumbuhan yang lebih inklusif dan memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat. – The Capital Post