KUALA LUMPUR 16 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Komunikasi terus memperkukuh pembangunan industri kreatif negara apabila menyediakan Dana Pengiktirafan berjumlah RM950,000 menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) 2026 bagi menghargai pemenang Anugerah Industri Muzik Ke-25 (AIM25).
Komitmen itu dizahirkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah ketika menghadiri Majlis Sidang Media AIM25 yang disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah di The Arch Galleries.
Dalam ucapannya, Datuk Abdul Halim berkata peningkatan peruntukan DKK yang kini memasuki tahun ketiga pelaksanaan membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memperkasakan ekosistem industri kreatif serta mengiktiraf sumbangan penggiat seni tempatan. Menurut beliau, dana tersebut bukan sahaja memberi penghargaan kepada bakat yang cemerlang, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan industri muzik yang lebih berdaya saing.
-Advertisement-
Beliau turut menyambut baik pengenalan kategori baharu iaitu Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik yang disifatkan mampu memperluaskan pengiktirafan terhadap kepelbagaian karya muzik tempatan serta meraikan identiti budaya Malaysia.
Katanya, kerjasama erat antara kerajaan dan pemain industri akan terus diperkukuh bagi melahirkan lebih ramai bakat bertaraf antarabangsa, selain membuka peluang kepada karya tempatan untuk mendapat pengiktirafan yang lebih luas di peringkat global. – The Capital Post