SEREMBAN 16 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pengangkutan (MOT) terus memperkukuh pelaksanaan agenda Malaysia MADANI menerusi pelancaran Program Kampung Angkat MADANI (KAM), Sekolah Angkat MADANI (SAM) dan Santuni MADANI Tahun 2026 yang disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook di Kampung Mantin Dalam.
Pelaksanaan program berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasakan komuniti melalui pendekatan menyeluruh yang memberi tumpuan kepada pembangunan sosial, pendidikan, kemahiran dan kesejahteraan rakyat. Inisiatif tersebut turut menzahirkan nilai ihsan dan kesejahteraan dengan mendekati masyarakat bagi memahami serta menangani keperluan setempat secara berterusan.
Di bawah Program Kampung Angkat MADANI, Kampung Baru Mantin menerima peruntukan berjumlah RM600,000 yang disalurkan secara mampan. Daripada jumlah tersebut, RM500,000 diperuntukkan kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS) bagi melaksanakan projek pembangunan infrastruktur fizikal, manakala RM100,000 disalurkan kepada Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Chembong untuk pelaksanaan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam usaha meningkatkan kemahiran serta kebolehpasaran belia.
Sementara itu, menerusi Program Sekolah Angkat MADANI, SJK(C) Chung Hua Mantin menerima peruntukan RM100,000 bagi pembelian Smart Board serta pelaksanaan latihan profesional kepada guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP). Inisiatif itu bertujuan memperkukuh pembelajaran digital dan meningkatkan keupayaan warga sekolah dalam memanfaatkan teknologi pendidikan.
-Advertisement-
Program Santuni MADANI pula memberi penekanan kepada aspek keselamatan jalan raya melalui pengagihan topi keledar kepada penduduk, di samping menyantuni masyarakat dan menyelesaikan isu-isu setempat menerusi semangat hormat, kebersamaan dan kerjasama.
Kementerian Pengangkutan menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat serta menyokong aspirasi Malaysia MADANI. – The Capital Post