KOTA BHARU 16 Julai 2026 (The Capital Post) – Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi meninjau perkembangan Projek Menaiktaraf Jalan FT209 dan FT131 (Jalan Raja Perempuan Zainab II) dari Persimpangan Bertingkat Pasir Hor ke Panchor yang kini mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 71.61 peratus.
Projek sepanjang 6.0 kilometer dengan nilai kontrak RM191 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada 8 September 2027. Lawatan kerja tersebut bertujuan menilai kemajuan pelaksanaan projek yang dianggap penting dalam meningkatkan kecekapan jaringan pengangkutan di kawasan Kota Bharu.
Projek berkenaan dilaksanakan bagi menangani isu kesesakan lalu lintas yang semakin ketara di laluan utama dari Kubang Kerian ke Sabak dan Pengkalan Chepa, yang kini berdepan tahap kesesakan tinggi. Keadaan tersebut berpunca daripada kapasiti jalan sedia ada yang terhad, selain kewujudan kawasan tumpuan seperti institusi pendidikan, pusat perniagaan dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sepanjang laluan.
Selain menghubungkan kawasan penempatan utama, laluan tersebut turut memainkan peranan penting sebagai akses utama ke kawasan perindustrian Pengkalan Chepa serta Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.
-Advertisement-
Pelaksanaan projek ini dijangka membantu mengurangkan kesesakan, memendekkan masa perjalanan serta menyediakan kemudahan jalan raya yang lebih selamat dan selesa kepada pengguna, selaras dengan pertumbuhan pembangunan pesat di Kubang Kerian sebagai antara kawasan utama di Kota Bharu.
Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) akan terus memberi tumpuan terhadap projek infrastruktur berimpak tinggi bagi menyokong pembangunan sosioekonomi setempat serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat. – The Capital Post