KKM Utamakan Ubat Generik Dalam Perolehan 2025

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR 19 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan bahawa perolehan ubat generik terus menjadi komponen utama dalam perbelanjaan ubat-ubatan kerajaan bagi tahun 2025, berikutan laporan media berkaitan perbelanjaan ubat inovator yang dikatakan lebih tinggi berbanding ubat generik.

KKM memaklumkan terdapat perbezaan antara dapatan laporan tersebut dengan rekod rasmi kementerian, yang berkemungkinan berpunca daripada perbezaan sumber data serta skop analisis yang digunakan. Analisis berkenaan antaranya merujuk kepada data daripada pangkalan data komersial IQVIA dan analisis dalaman Pharmaniaga Berhad.

Berdasarkan rekod rasmi KKM, jumlah perbelanjaan bagi perolehan ubat-ubatan pada tahun 2025 adalah sebanyak RM3.86 bilion melibatkan tiga kaedah perolehan utama iaitu melalui Konsesi Perkhidmatan Logistik Bekalan Perubatan KKM, Kontrak Pusat serta pembelian terus oleh fasiliti kesihatan KKM di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, ubat generik mencatatkan nilai perolehan sebanyak RM3.01 bilion atau 77.88 peratus, melibatkan 3,170 daripada 3,982 jenis ubat yang diperoleh. Manakala ubat inovator pula merekodkan perolehan sebanyak RM0.85 bilion atau 22.12 peratus.

KKM turut memaklumkan penggunaan ubat generik menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh lima tahun, dengan nilai perolehan meningkat daripada 54.22 peratus pada 2021 kepada 77.88 peratus pada 2025, selaras dengan Dasar Ubat Nasional (DUNas) yang menggalakkan penggunaan ubat generik.

-Advertisement-

Dalam masa sama, kementerian terus menyokong pembangunan industri farmaseutikal tempatan bagi memperkukuh keterjaminan bekalan ubat negara. Nilai perolehan ubat generik buatan tempatan meningkat daripada RM1.14 bilion atau 44.21 peratus pada 2023 kepada RM1.49 bilion atau 49.57 peratus pada 2025.

KKM turut menyeru semua pihak supaya memastikan ketepatan sumber data, kaedah analisis dan skop maklumat sebelum membuat sebarang kenyataan atau kesimpulan berkaitan perolehan ubat-ubatan kerajaan.

Kementerian menegaskan komitmennya untuk memastikan perolehan ubat yang berkualiti, selamat dan berkesan, di samping menguruskan sumber awam secara berhemah serta memperkukuh dasar perolehan berasaskan keperluan klinikal dan kesinambungan bekalan demi memastikan akses kesihatan yang saksama kepada rakyat Malaysia. – The Capital Post