KOTA KINABALU 20 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kerja Raya (KKR) memperkukuh kerjasama strategik dalam kalangan warga kerja raya menerusi sesi Executive Talk Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya yang berlangsung sempena Program Kolaborasi Strategik Kerja Raya Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah.
Sesi bertemakan “Sinergi Keluarga Raya: Merangkum Resolusi 2025 dan Mengemudi Masa Depan Infrastruktur Negara” itu dianjurkan bagi menyatukan pandangan, pengalaman serta kepakaran pelbagai agensi di bawah KKR dalam usaha meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan dan pelaksanaan projek pembangunan negara.
Program tersebut turut mendapat perhatian dengan kehadiran Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi bersama barisan kepimpinan tertinggi kementerian, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta agensi-agensi berkaitan dalam Keluarga Raya.
Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk usaha memperkukuh sinergi antara agensi, menilai pencapaian Resolusi 2025 serta merangka strategi penambahbaikan bagi memastikan pelaksanaan projek infrastruktur berimpak tinggi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
-Advertisement-
Selain itu, sesi berkenaan turut memberi penekanan terhadap hala tuju masa depan sektor infrastruktur negara melalui penerapan teknologi moden, digitalisasi pembinaan, pembangunan hijau serta pendekatan yang mengambil kira aspek ketahanan perubahan iklim demi meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna.
Fokus pembangunan wilayah khususnya di Sabah dan Sarawak turut diberi perhatian, termasuk memastikan kemajuan projek infrastruktur penting seperti Lebuhraya Pan Borneo serta penyelenggaraan rangkaian jalan persekutuan terus berjalan lancar dengan tahap kualiti yang tinggi.
YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi menegaskan bahawa kerjasama erat dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga Kerja Raya merupakan elemen penting bagi menyokong aspirasi Malaysia MADANI menerusi penyediaan infrastruktur yang mampan, selamat dan memberi manfaat kepada rakyat. – The Capital Post