KOTA SAMARAHAN 20 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pertahanan meneruskan usaha memperkasa pendidikan digital anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Program e-Perkasa SPM 2026 dengan penyerahan peranti pembelajaran kepada pelajar di bawah naungan Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat.
Majlis penyerahan tersebut berlangsung di Dewan Banquet, Wisma Perwira Sri Kenyalang, Kem Muara Tuang dan disempurnakan oleh Panglima Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat, YBhg. Leftenan Jeneral Dato’ Mohd. Sofi Md. Lepi bersama Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, YBhg. Dato’ Dr. Mohd. Nizar Haji Sudin.
Program e-Perkasa SPM 2026 merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan melalui Yayasan LTAT dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi membantu anak-anak warga ATM yang mengikuti persekolahan di luar kem mendapatkan kemudahan pembelajaran digital dalam membuat persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Penyerahan peranti berkenaan adalah kesinambungan daripada majlis peluncuran PROWIRA – Ready To Work (RTW) Graduan dan Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2026 yang telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan pada 14 Mei 2026.
-Advertisement-
Seramai 80 anak warga ATM di Sarawak menerima manfaat menerusi program tersebut bagi memastikan mereka memperoleh akses kepada sumber pembelajaran digital yang lebih baik sepanjang tempoh pelaksanaan program. Inisiatif ini diharap dapat membantu meningkatkan persediaan akademik pelajar serta mengurangkan jurang akses teknologi dalam pendidikan.
Pelaksanaan Program e-Perkasa SPM 2026 turut diperkukuh menerusi sokongan rakan strategik termasuk PERNAMA, Boustead Plantations Berhad, TM Technology Services Sdn. Bhd. dan Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd., sekali gus mencerminkan komitmen bersama dalam memperluas peluang pendidikan digital kepada keluarga warga pertahanan negara. – The Capital Post