Kerajaan Salur RM2 Juta Kepada Institut Al-Qaradawi

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 22 Julai 2026 (The Capital Post) – Kerajaan MADANI mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta kepada Institut Pemikiran Al-Qaradawi bagi memperkukuh penyelidikan serta pengembangan pemikiran ilmiah berteraskan pendekatan wasatiyah yang diasaskan oleh Allahyarham Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi.

Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Seminar Pemikiran Yusuf Al-Qaradawi dan Institut Pemikiran Al-Qaradawi yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Dalam ucapannya, beliau mengimbau kembali hubungan dan kerjasama yang terjalin bersama Allahyarham ketika aktif bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), selain menyifatkan tokoh ilmuwan itu sebagai pemikir yang berjaya mencetuskan perubahan serta membawa pendekatan pembaharuan dalam menghadapi cabaran dunia Islam kontemporari.

Menurut beliau, Al-Qaradawi dikenali sebagai seorang sarjana yang menampilkan pemikiran terbuka serta mengangkat prinsip kesederhanaan atau wasatiyah dalam menangani pelbagai isu semasa, sekali gus menjadi rujukan penting kepada gerakan Islam di peringkat antarabangsa.

-Advertisement-

Perdana Menteri turut berkongsi bahawa pada awal kebangkitan gerakan Islam sekitar tahun 1980-an, Allahyarham pernah mengutuskan nasihat kepada kepimpinan ABIM supaya menjauhi pendekatan ekstrem dan terus berpegang kepada prinsip kesederhanaan, nasihat yang disifatkannya sebagai amat signifikan dalam membentuk hala tuju gerakan tersebut.

Beliau berkata, penyaluran dana kepada Institut Pemikiran Al-Qaradawi diharap dapat memperkukuh usaha penyelidikan, dokumentasi serta pengembangan idea-idea tokoh berkenaan agar terus memberi manfaat kepada masyarakat dan menjadi rujukan dalam pembangunan pemikiran Islam yang progresif.

Mengakhiri ucapannya, Perdana Menteri menzahirkan penghargaan atas sumbangan besar Allahyarham terhadap perkembangan pemikiran Islam serta menyifatkan hubungan yang terjalin sepanjang hayat sebagai satu persahabatan yang dibina atas dasar keikhlasan dan nilai keilmuan. – The Capital Post