CYBERJAYA 22 Julai 2026 (The Capital Post) – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyambut Hari Imigresen Ke-104 dengan menampilkan komitmen berterusan terhadap pemodenan perkhidmatan, pengukuhan tadbir urus serta peningkatan keupayaan organisasi dalam menghadapi cabaran pengurusan imigresen yang semakin kompleks.
Majlis sambutan yang berlangsung di Cyberjaya disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dengan diiringi Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, serta Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, YBhg. Dato’ Zakaria Shaaban.
Bertemakan “Melakar Wajah Baharu Imigresen”, sambutan tahun ini mencerminkan aspirasi JIM untuk mempertingkat mutu penyampaian perkhidmatan, memperkukuh penguatkuasaan undang-undang serta membina sebuah organisasi yang lebih cekap, progresif dan bersedia menghadapi keperluan semasa.
Majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Mohd Khalid Ismail, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, serta Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, YBhg. Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman.
Antara pengisian utama majlis ialah pelancaran Buku Pelan Strategik Jabatan Imigresen Malaysia 2026–2030, penyampaian Anugerah Apresiasi Media Jabatan Imigresen Malaysia, penyerahan Surat Kelulusan Permit Masuk kepada lima penerima serta penyampaian pingat penghargaan kepada warga JIM sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan dan sumbangan mereka.
-Advertisement-
JIM memaklumkan pelbagai inisiatif transformasi sedang dilaksanakan meliputi aspek penyampaian perkhidmatan, pemantapan tadbir urus dan pembangunan kapasiti organisasi. Peranan jabatan kini bukan sahaja mengurus kemasukan warga asing, malah menjadi institusi strategik yang bertanggungjawab memastikan keselamatan negara melalui pengurusan imigresen yang berkesan.
Dalam usaha memperkukuh organisasi, JIM turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan menerusi cadangan penambahbaikan skim Perkhidmatan Penguasa Imigresen, penstrukturan jawatan strategik dan peluasan laluan kerjaya bagi melahirkan tenaga kerja yang lebih kompeten dan berdaya saing.
Sambutan Hari Imigresen Ke-104 turut menjadi platform menghargai jasa serta pengorbanan seluruh warga JIM yang telah berkhidmat selama lebih satu abad dalam memelihara keselamatan, kemakmuran dan kedaulatan negara, di samping memperbaharui komitmen untuk terus membawa pembaharuan kepada sistem imigresen Malaysia. – The Capital Post