KUALA SELANGOR 22 Julai 2026 (The Capital Post) – Guru taska swasta di daerah Kuala Selangor menerima pendedahan berkaitan kepentingan penjagaan kesihatan pergigian kanak-kanak menerusi program taklimat khas yang dianjurkan bagi memperkukuh amalan kesihatan mulut sejak usia awal.
Program Taklimat Kesihatan Pergigian Untuk Guru Taska Bagi Taska Swasta Daerah Kuala Selangor 2026 berlangsung pada 21 Julai 2026 bertempat di Bilik Kamar Diskusi, Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Utama, Sungai Buloh.
Anjuran Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Kuala Selangor, program tersebut bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran dalam kalangan pendidik taska mengenai peranan mereka dalam membantu membentuk tabiat penjagaan kesihatan mulut yang baik dalam kalangan kanak-kanak.
Sepanjang program berlangsung, para peserta mengikuti pelbagai pengisian termasuk ceramah mengenai tanggungjawab guru dalam aspek kesihatan pergigian, panduan penjagaan gigi sihat serta penerangan mengenai masalah pergigian yang sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak.
-Advertisement-
Selain sesi perkongsian ilmu, peserta turut didedahkan dengan demonstrasi penjagaan kesihatan pergigian yang betul bagi membolehkan guru mengaplikasikan amalan tersebut dalam rutin harian di taska.
Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua penceramah, urus setia dan guru-guru taska yang terlibat atas kerjasama serta komitmen yang diberikan sepanjang program berlangsung.
Usaha berterusan seperti ini diharap dapat memperkukuh kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mulut dalam kalangan kanak-kanak serta menyumbang kepada pembentukan generasi yang lebih sihat pada masa hadapan. – The Capital Post