PLANMalaysia Perkasa PBT Melalui Program Bandar Selamat 2.0

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 22 Julai 2026 (The Capital Post) – PLANMalaysia menerusi Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (BPP) menganjurkan sesi Tech-In bagi membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) memahami keperluan penambahbaikan dalam penyediaan kertas cadangan Program Bandar Selamat 2.0.

Sesi yang berlangsung pada 21 Julai 2026 itu melibatkan penyertaan 29 PBT, PLANMalaysia Negeri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Sabah serta Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak.

Program tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah BPP PLANMalaysia, TPr Dr. Muhammad Hakimi Mohd Hussain, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keupayaan PBT dalam merancang dan melaksanakan inisiatif berkaitan keselamatan bandar.

Dalam sesi perkongsian yang disampaikan oleh Ketua Unit Kemampanan dan Bandar Selamat, Encik Shamsul Azlan Mohamad Anuar, peserta diberikan penerangan mengenai kaedah menghasilkan cadangan projek yang lebih berkualiti, berasaskan data serta selari dengan keperluan komuniti setempat.

-Advertisement-

Antara aspek yang diberi penekanan termasuk kriteria penilaian projek, penyediaan justifikasi yang kukuh, penggunaan data sokongan serta perancangan intervensi yang lebih tersusun bagi memastikan setiap cadangan mampu memberi impak positif terhadap keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Penganjuran sesi tersebut diharap dapat meningkatkan keupayaan PBT dalam menyediakan permohonan yang lebih menyeluruh, strategik dan berdaya saing, sekali gus menyokong usaha kerajaan mewujudkan persekitaran bandar yang lebih selamat, inklusif serta mampan untuk semua lapisan masyarakat. – The Capital Post