Ahmad Zahid Sampaikan Amanat Kepada Duta Besar Baharu

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 28 Julai 2026, (The Capital Post) – Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menerima kunjungan hormat daripada lima Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia yang bakal memulakan penugasan sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Vietnam, Mexico, Maghribi dan Azerbaijan.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi beliau hari ini, Ahmad Zahid menegaskan bahawa tanggungjawab sebagai Ketua Perwakilan bukan sekadar memerlukan kemahiran dalam bidang diplomasi, malah membawa amanah besar untuk menjaga imej negara serta melindungi kepentingan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Beliau turut mengingatkan agar setiap Duta Besar memberikan keutamaan kepada usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai sektor, termasuk ekonomi, pendidikan, industri halal, pelancongan dan pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selaras dengan agenda pembangunan negara di peringkat global.

-Advertisement-

Menurut beliau, pengalaman serta kepakaran yang dimiliki oleh setiap Ketua Perwakilan diyakini mampu memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dengan negara-negara penempatan masing-masing, selain membuka lebih banyak peluang kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Ahmad Zahid turut menzahirkan ucapan selamat menjalankan tugas kepada semua Ketua Perwakilan yang bakal memulakan penugasan mereka serta mendoakan agar segala urusan dipermudahkan dalam melaksanakan amanah demi kepentingan agama, bangsa dan negara. – The Capital Post