Melaka, 28 Oktober 2026 – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) terus memperkukuh pembangunan tenaga kerja mahir bagi meningkatkan daya saing serta memacu transformasi industri agrikomoditi negara menerusi pendidikan dan latihan berteraskan keperluan industri.
Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, menghadiri Mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) Kali Ke-12, Bilangan 3 Tahun 2026 pada 27 Oktober 2026.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi MTVET, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menjadi platform penting untuk memperkukuh hala tuju Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri.
Dalam mesyuarat tersebut, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menegaskan komitmen KPK terhadap pembangunan modal insan melalui latihan yang memberi tumpuan kepada automasi, mekanisasi dan penggunaan teknologi moden dalam sektor agrikomoditi.
-Advertisement-
Dari tahun 2023 hingga Oktober 2026, seramai 769 pelatih telah mengikuti Kursus Operasi Mekanisasi Ladang (KOML) dan Kursus Machine Specialist menerusi inisiatif pembangunan kemahiran yang dilaksanakan oleh KPK.
Selain itu, KPK turut menyokong pelaksanaan Fasa 3 Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di institusi TVET, termasuk penyertaan Pusat Latihan Sawit Malaysia (PLASMA) di Keratong, Pahang, dalam projek rintis yang melibatkan 160 peserta.
KPK akan terus memperkukuh pembangunan tenaga kerja mahir melalui lapan pusat latihan di bawah agensinya bagi menyokong pemodenan, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh daya saing industri agrikomoditi negara. – The Capital Post