PUTRAJAYA 28 Julai 2026, (The Capital Post) – Kementerian Ekonomi hari ini mengadakan Perhimpunan Bulanan bagi Julai 2026 sebagai platform menilai prestasi ekonomi negara sepanjang enam bulan pertama tahun ini, di samping memperkukuh hala tuju pelaksanaan agenda pembangunan negara untuk Fasa Kedua 2026.
Bertemakan “Menilai Kompas Ekonomi Negara dan Menetapkan Trajektori Fasa Kedua 2026”, Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah, menegaskan bahawa ekonomi Malaysia terus menunjukkan momentum yang kukuh dan berdaya tahan. Beliau berkata, pencapaian ekonomi tidak seharusnya dinilai berdasarkan pertumbuhan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peningkatan peluang pekerjaan, kesejahteraan rakyat serta pembangunan yang lebih menyeluruh dan inklusif.
Dalam perhimpunan tersebut, beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh pelaksanaan projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), termasuk memperkemas proses saringan projek Rolling Plan 2 bagi Tahun 2027 untuk memastikan setiap peruntukan awam dimanfaatkan secara optimum dan memberi impak yang signifikan kepada rakyat.
-Advertisement-
Selain itu, usaha mempertingkatkan tadbir urus ekonomi turut menjadi antara fokus utama menerusi pemodenan sistem statistik negara, penggubalan Rang Undang-Undang Statistik 2026 serta pengukuhan amalan penggubalan dasar berasaskan bukti (evidence-based policy making). Langkah tersebut bertujuan memastikan setiap dasar yang dirangka disokong oleh data yang tepat, berkualiti dan relevan bagi memenuhi keperluan pembangunan negara.
Kementerian Ekonomi menegaskan komitmennya untuk terus memastikan setiap dasar dan inisiatif yang dilaksanakan bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi negara, malah meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui penyampaian perkhidmatan yang cekap, berkesan dan berintegriti. – The Capital Post