Johor Bahru, 28 Oktober 2026 – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menahan sepasang suami isteri yang dipercayai membawa wang tunai bernilai hampir RM3 juta tanpa pengisytiharan ketika melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AKPS, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Nasaruddin M. Nasir, berkata pasangan berusia 42 dan 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.40 pagi pada 27 Oktober ketika menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih di laluan menuju ke Woodlands, Singapura.
Menurut beliau, anggota AKPS mengarahkan kenderaan berkenaan untuk pemeriksaan selepas mengesyaki tingkah laku pemandunya ketika sesi soal jawab.
Pemeriksaan lanjut terhadap ruang penyimpanan dan tempat duduk penumpang menemukan wang tunai berjumlah RM1,971,697 dalam mata wang Malaysia serta S$300,000, bersamaan kira-kira RM955,538.
Wang tunai tersebut ditemukan di bahagian penumpang hadapan dan disimpan dalam tiga kotak, sebuah beg kanvas serta sebuah beg galas berwarna hitam.
-Advertisement-
Datuk Mohd Nasaruddin berkata pasangan berkenaan, yang merupakan ahli perniagaan, mendakwa mereka dalam perjalanan sebagai pelancong ke Singapura. Bagaimanapun, tujuan membawa wang tunai dalam jumlah besar itu masih dalam siasatan.
Beliau memaklumkan bahawa pasangan terbabit, wang tunai yang ditemukan serta kenderaan mereka telah diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, AKPS mengingatkan orang ramai bahawa wang tunai dan instrumen kewangan lain yang melebihi AS$10,000 atau nilai setara wajib diisytiharkan ketika memasuki atau meninggalkan Malaysia.
Kegagalan membuat pengisytiharan boleh menjadi suatu kesalahan yang disiasat dan didakwa mengikut Akta Kastam 1967. – The Capital Post