Pernahkah anda mengalami rasa pedih, kemerahan atau kulit terasa tidak selesa selepas menggunakan pelindung matahari (sunscreen)? Bagi sesetengah individu, langkah yang sepatutnya menjadi rutin perlindungan harian ini boleh bertukar menjadi satu pengalaman yang mengecewakan. Akibatnya, ramai mula mengelakkan penggunaan pelindung matahari kerana bimbang ia akan memburukkan keadaan kulit. Namun persoalan sebenar ialah, adakah pelindung matahari benar-benar puncanya, atau adakah kita sebenarnya belum memilih formulasi yang sesuai dengan keperluan kulit sendiri?
Dalam cuaca tropika seperti Malaysia, penggunaan sunscreen bukan lagi sekadar pilihan, tetapi satu keperluan. Pendedahan kepada cahaya matahari setiap hari boleh menyumbang kepada pembentukan pigmentasi seperti jeragat dan tompok gelap, mempercepatkan penuaan kulit, malah meningkatkan risiko kanser kulit dalam jangka masa panjang. Namun, bagi individu yang mempunyai kulit sensitif, memilih sunscreen yang sesuai sering menjadi satu cabaran. Selain mempercepatkan pembentukan jeragat, tompok gelap dan tanda-tanda penuaan pramatang, pendedahan kronik kepada sinaran ultraviolet (UV) juga meningkatkan risiko kanser kulit.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan lebih 1.5 juta kes baharu kanser kulit didiagnosis di seluruh dunia pada tahun 2022 dengan hampir 120,000 kematian direkodkan akibat penyakit tersebut. Statistik ini jelas menunjukkan bahawa perlindungan kulit bukan lagi sekadar isu kosmetik, tetapi juga isu kesihatan awam.
Bagi individu yang mempunyai kulit sensitif, pemilihan pelindung matahari memerlukan perhatian yang lebih teliti. Kulit sensitif lazimnya mempunyai lapisan perlindungan semula jadi atau skin barrier yang lebih mudah terganggu. Apabila fungsi skin barrier terjejas, kulit menjadi lebih mudah bertindak balas terhadap perubahan cuaca, pencemaran dan bahan tertentu dalam produk penjagaan kulit. Keadaan ini boleh menyebabkan rasa pedih, kemerahan, kekeringan atau kegatalan, sekali gus membuatkan ramai beranggapan bahawa semua pelindung matahari tidak sesuai untuk mereka.
Hakikatnya, masalah tersebut sering berpunca daripada pemilihan formulasi yang kurang sesuai, bukannya pelindung matahari itu sendiri. Bagi individu yang mempunyai kulit sensitif, pelindung matahari mineral (mineral sunscreen) sering menjadi pilihan kerana menggunakan bahan aktif seperti zinc oxide yang membentuk lapisan perlindungan pada permukaan kulit. Berbanding sesetengah pelindung matahari kimia yang perlu diserap ke dalam kulit untuk berfungsi, formulasi mineral bertindak di permukaan kulit dan secara umumnya kurang berpotensi menyebabkan iritasi. Oleh itu, ia sering disyorkan kepada individu yang mempunyai kulit reaktif, mudah kemerahan atau cenderung mengalami masalah jerawat.
-Advertisement-
Namun, keberkesanan pelindung matahari bukan hanya bergantung kepada bahan aktif. Faktor yang sering diabaikan ialah keselesaan penggunaan. Produk yang terlalu berat, melekit atau meninggalkan rasa tidak selesa mungkin menyebabkan pengguna tidak menggunakannya secara konsisten. Sedangkan, pelindung matahari yang paling berkesan ialah yang digunakan setiap hari, dalam kuantiti yang mencukupi dan mengikut cara yang betul.
Bagi mereka yang aktif melakukan aktiviti luar seperti berjoging, bersukan atau berenang, satu lagi ciri yang wajar diberi perhatian ialah water-resistant. Peluh dan air boleh mengurangkan lapisan pelindung matahari pada permukaan kulit, sekali gus menjejaskan tahap perlindungan. Formulasi water-resistant membantu mengekalkan perlindungan lebih lama ketika kulit terdedah kepada air atau peluh. Walau bagaimanapun, pengguna perlu memahami bahawa water-resistant tidak bermaksud kalis air sepenuhnya. Pelindung matahari masih perlu disapu semula sekurang-kurangnya setiap dua jam, atau lebih awal selepas berenang, mengeringkan badan dengan tuala atau berpeluh secara berlebihan.
Menurut tinjauan American Academy of Dermatology (AAD) pada tahun 2025, walaupun majoriti responden menyedari bahawa pelindung matahari dapat membantu mengurangkan risiko penuaan kulit dan kanser kulit, hanya sekitar separuh daripada mereka menggunakannya secara konsisten. Dapatan ini menunjukkan bahawa cabaran utama bukan lagi kekurangan produk di pasaran, tetapi kurangnya kefahaman dalam memilih formulasi yang sesuai dengan keperluan kulit.
Akhirnya, memiliki kulit sensitif bukanlah alasan untuk mengabaikan perlindungan matahari. Sebaliknya, ia menuntut kita menjadi pengguna yang lebih bijak dalam memahami formulasi sesuatu produk. Dengan memilih pelindung matahari yang sesuai serta mengamalkan pemakaian secara konsisten, kita bukan sahaja melindungi kulit daripada ketidakselesaan hari ini, malah mengurangkan risiko pigmentasi, penuaan pramatang dan kanser kulit pada masa hadapan. Kerana kulit yang sihat bukan sekadar mencerminkan kecantikan, tetapi merupakan organ terbesar tubuh yang melindungi kita sepanjang hayat.
Ditulis Oleh Dr Syazreen Nadia Sulaiman yang merupakan Penyelaras di Bahagian Kimia, Pusat Asasi Sains Universiti Malaya dan boleh dihubungi di syazreen@um.edu.my
Pandangan yang dikemukakan adalah milik penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian The Capital Post.
