KUALA LUMPUR 4 Ogos 2026, (The Capital Post) – Pusat Darah Negara (PDN) mengadakan sesi libat urus dan kunjung hormat ke Medical Device Authority (MDA) bagi memperkukuh kerjasama strategik berkaitan penggunaan peranti perubatan dalam perkhidmatan transfusi darah dan transplan.
Sesi tersebut menjadi platform untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan, berkongsi maklumat serta mengenal pasti langkah penambahbaikan dalam meningkatkan pematuhan terhadap keperluan regulatori, aspek keselamatan dan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan negara.
Delegasi PDN diketuai oleh Pengarah Pusat Darah Negara, Dr. Nor Nazahah Mahmud bersama Timbalan Pengarah Pengurusan, Nur Sharezal Roslan, barisan pakar perubatan serta pegawai-pegawai PDN.
-Advertisement-
Kunjungan itu disambut oleh Ketua Eksekutif Medical Device Authority (MDA), Dr. Muralitharan Paramasua bersama barisan pegawai MDA yang turut menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama dalam memastikan penggunaan peranti perubatan memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti yang ditetapkan.
Kerjasama erat antara PDN dan MDA dijangka terus memperkasakan sistem penjagaan kesihatan negara, khususnya dalam memastikan perkhidmatan transfusi dan transplan darah dilaksanakan secara selamat, berkualiti serta mematuhi standard regulatori semasa. – The Capital Post