PUTRAJAYA 4 Ogos 2026, (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited melahirkan generasi masa depan yang berilmu, berakhlak dan profesional menerusi pendekatan pendidikan yang menggabungkan kecemerlangan akademik, nilai moral serta kemahiran insaniah bagi menghadapi cabaran dunia yang semakin dipengaruhi teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pemisahan antara bidang agama dan profesional tidak lagi sesuai dalam landskap pendidikan masa kini kerana kedua-duanya perlu bergerak seiring untuk membentuk modal insan berkualiti selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.
Menurut beliau, pembangunan teknologi termasuk AI perlu diseimbangkan dengan nilai agama, moral dan etika supaya kemajuan yang dicapai dapat dimanfaatkan secara bertanggungjawab demi kesejahteraan masyarakat dan negara.
Beliau turut menegaskan bahawa proses menuntut ilmu bukan sekadar memperoleh kelayakan akademik, malah perlu disertai pembentukan sahsiah, disiplin serta adab bagi melahirkan graduan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
-Advertisement-
Pada masa sama, beliau menggalakkan pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke luar negara supaya memanfaatkan peluang tersebut dengan memperluaskan pengalaman, menguasai bidang kepakaran masing-masing dan membina jati diri yang kukuh sebagai persediaan menjadi pemimpin masa hadapan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Program Karisma Antarabangsa: Kenegaraan Malaysia MADANI 2026 yang menghimpunkan seramai 456 pelajar Malaysia tajaan dan persendirian yang akan melanjutkan pengajian ke Mesir, Jordan dan Maghribi. Program anjuran KPT dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia itu bertujuan memupuk semangat patriotisme, memperkukuh kefahaman kenegaraan serta menghayati nilai-nilai Malaysia MADANI sebelum peserta memulakan pengajian di luar negara. – The Capital Post