BANGI 4 Ogos 2026, (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh agenda pendigitalan sektor awam menerusi penganjuran Kursus Berprestij KUSKOP: Pengadaptasian Kecerdasan Buatan (AI) Dalam Pengurusan dan Penyampaian Perkhidmatan yang bertujuan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan.
Sesi penutup kursus tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KUSKOP, YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud di Hotel Tenera, Bangi.
Kursus berkenaan merupakan inisiatif strategik bagi memperkasakan kompetensi pegawai kanan kementerian dalam mengaplikasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menyokong proses pengurusan, mempercepat penyampaian perkhidmatan serta meningkatkan kecekapan organisasi.
-Advertisement-
Selain memperkukuh kemahiran digital, program itu turut memberi penekanan terhadap pembudayaan penggunaan AI secara beretika, bertanggungjawab dan berintegriti bagi memastikan teknologi dimanfaatkan secara optimum dalam tadbir urus sektor awam.
KUSKOP berharap ilmu dan pendedahan yang diperoleh sepanjang kursus dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan tugas yang lebih inovatif, responsif dan berimpak tinggi, sekali gus memperkukuh dasar kementerian serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, khususnya golongan usahawan dan koperasi. – The Capital Post