KUALA LUMPUR 4 Ogos 2026, (The Capital Post) – Seramai 70 pegawai kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) menyertai Program Bicara Kepimpinan Siri 2/2026 yang mengetengahkan tema “The Dead Horse Theory” bagi memperkukuh budaya kepimpinan berani membuat keputusan dan memacu transformasi organisasi.
Program yang berlangsung di Bilik Tanjung, Aras 6, Blok A, Kompleks Kerja Raya itu menghimpunkan peserta terdiri daripada Head of Design Team (HODT), Head of Project Team (HOPT) dan Superintending Officers (SO).
Ceramah eksklusif telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Seri Azman Ibrahim yang menekankan kepentingan keberanian dalam membuat keputusan strategik, termasuk meninggalkan pendekatan yang tidak lagi relevan demi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan projek.
-Advertisement-
Beliau turut menggalakkan kepimpinan teknikal JKR untuk mengadaptasi strategi baharu dan memanfaatkan teknologi terkini dalam mempertingkat kecekapan pengurusan projek serta memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkualiti.
Menerusi program tersebut, para peserta turut didedahkan kepada perspektif kepimpinan yang memberi penekanan terhadap keupayaan mengenal pasti cabaran sebenar, menyesuaikan diri dengan perubahan serta membina organisasi yang lebih progresif, inovatif dan berdaya saing. – The Capital Post