SHAH ALAM 4 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh semangat patriotisme dalam kalangan penjawat awam dan rakyat menerusi Majlis Perhimpunan Penjawat Awam serta Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor Tahun 2026 yang berlangsung hari ini.
Majlis yang bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” itu telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor sebagai simbolik komitmen negeri dalam menyemarakkan rasa cinta terhadap negara serta memperkukuh perpaduan masyarakat.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YB Dato’ Dr. Ahmad Fadzli bin Ahmad Tajuddin, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor; YB Mohamad Onn bin Abd. Aziz, Penasihat Undang-Undang Negeri; YB Datuk Dr. Haniff bin Zainal Abidin, Pegawai Kewangan Negeri Selangor; barisan EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan serta penjawat awam negeri.
Dalam majlis berkenaan, YAB Dato’ Seri Amirudin turut melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang Negeri Selangor Tahun 2026 sebagai usaha menggalakkan seluruh rakyat bersama-sama menzahirkan semangat patriotisme melalui pengibaran bendera kebangsaan.
-Advertisement-
Sebagai simbolik pelancaran, Jalur Gemilang telah diserahkan kepada Pegawai Daerah, Datuk Bandar serta Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor bagi memastikan kempen tersebut dapat diperluaskan di seluruh kawasan pentadbiran negeri.
Penganjuran kempen ini diharap dapat menjadi wadah menyatukan rakyat, meningkatkan rasa bangga terhadap negara serta mengukuhkan semangat kebersamaan dalam mempertahankan keamanan, keharmonian dan kemakmuran Malaysia.
Kerajaan Negeri Selangor menyeru seluruh masyarakat agar bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kecintaan kepada tanah air serta menyokong usaha membina negara yang lebih maju dan sejahtera untuk generasi akan datang – The Capital Post