KPT Pantau Projek Infrastruktur Kampus Sabah

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA KINABALU, 7 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus mempergiat usaha memastikan projek pembaikan dan penaiktarafan infrastruktur di institusi pengajian tinggi awam dilaksanakan mengikut jadual serta memenuhi piawaian yang ditetapkan bagi menjamin keselesaan dan kebajikan warga kampus.

Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim telah mengadakan lawatan pemantauan ke Politeknik Kota Kinabalu dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah Kampus Kota Kinabalu bagi menilai kemajuan projek pembangunan serta mengenal pasti keperluan yang memerlukan tindakan segera menjelang kemasukan pelajar baharu pada September ini.

Di Politeknik Kota Kinabalu, beliau meninjau pelaksanaan beberapa projek termasuk kerja pembaikan kabel gentian optik serta pembinaan lubang takungan pam (pump pit) baharu. Lawatan itu turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah serta Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Md Nor Abdul Halim.

Di UiTM Cawangan Sabah Kampus Kota Kinabalu pula, beliau menerima taklimat mengenai prestasi pelaksanaan projek pembangunan daripada pihak pengurusan universiti sebelum meninjau sendiri perkembangan kerja di sekitar kampus. KPT memaklumkan beberapa projek telah berjaya disiapkan mengikut perancangan sebagai persediaan menyambut kemasukan pelajar baharu.

-Advertisement-

Selain menilai kemajuan projek semasa, lawatan tersebut turut meneliti cadangan penambahbaikan termasuk menaik taraf pintu masuk kampus, penyediaan perabot baharu, peningkatan kapasiti penginapan pelajar serta kerja-kerja baik pulih beberapa bangunan termasuk pejabat polis bantuan bagi meningkatkan kemudahan dan keselamatan warga kampus.

Program berkenaan turut diserikan dengan penyampaian Baucar Job on Campus, penyerahan sumbangan kepada sukarelawan Dapur Siswa MADANI serta sesi ramah mesra bersama pelajar yang sedang menjalani latihan industri, sekali gus mencerminkan komitmen KPT dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi yang kondusif dan berkualiti. – The Capital Post