PUTRAJAYA, 8 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan (KPM) terus memperkukuh agenda pendigitalan sektor pendidikan menerusi pelaksanaan Perkhidmatan Sewaan Komputer Peribadi dan Pencetak Fasa 1 (2026) yang bakal memberi manfaat kepada lebih 7,100 sekolah di seluruh negara.
Inisiatif tersebut dilaksanakan bagi memenuhi keperluan pejabat pentadbiran sekolah dengan penyediaan kemudahan ICT yang lebih moden dan efisien, sekali gus menyokong kelancaran urusan pentadbiran di bawah Kementerian Pendidikan.
Majlis penyerahan pentauliahan perkhidmatan berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan, YBhg. Dato’ Indera Ikmalrudin bin Ishak.
-Advertisement-
Pelaksanaan projek ini dijangka dapat mempertingkat kecekapan penyampaian perkhidmatan pendidikan menerusi penggunaan teknologi yang lebih sistematik, selain membantu memperkukuh pengurusan pentadbiran sekolah di seluruh negara.
Usaha berterusan KPM dalam menaik taraf kemudahan ICT mencerminkan komitmen kementerian untuk memperkasa ekosistem pendidikan digital serta memastikan institusi pendidikan dilengkapi dengan infrastruktur yang mampu menyokong keperluan pengurusan dan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap. – The Capital Post