KUALA LUMPUR 9 Ogos 2026 (The Capital Post) – Pusat Darah Negara (PDN) memberi pengiktirafan kepada 52 penderma darah dan tujuh penganjur kempen derma darah atas sumbangan serta komitmen mereka dalam membantu memastikan bekalan darah negara mencukupi sepanjang tempoh 2025 hingga 2026.
Penghargaan itu disampaikan sempena sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2026 yang berlangsung di Auditorium PDN, semalam. Pengarah PDN, Dr. Nor Nazahah Mahmud, dalam ucapannya menyeru masyarakat supaya mengubah persepsi terhadap pendermaan darah dengan menjadikannya sebahagian daripada amalan gaya hidup sihat yang dilakukan secara konsisten, bukannya hanya ketika kempen tertentu.
Beliau turut menekankan kepentingan menyemai budaya pendermaan darah dalam kalangan generasi muda bagi memastikan kesinambungan komuniti penderma darah negara pada masa hadapan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan kadar pendermaan darah meningkat daripada 23 kepada 30 pendermaan bagi setiap 1,000 penduduk menjelang 2030. Sasaran itu dilihat penting bagi memastikan bekalan darah dapat memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan yang semakin meningkat.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM, Dato’ Dr. Mohd Azman Yacob, berkata Malaysia memerlukan antara 2,200 hingga 2,400 unit darah setiap hari untuk menampung keperluan rawatan kira-kira 1,000 pesakit di seluruh negara.
Keperluan tersebut merangkumi pelbagai kategori rawatan termasuk kes kemalangan, pembedahan berteknologi tinggi, komplikasi kehamilan serta rawatan pesakit kanser dan talasemia.
-Advertisement-
Dalam pada itu, KKM turut komited untuk merealisasikan pembangunan kilang fraksinasi plasma negara dalam tempoh lima tahun akan datang sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar dan memperkukuh tahap keselamatan kesihatan negara.
Usaha tersebut bertujuan memastikan bekalan produk ubatan berasaskan plasma seperti Intravenous Immunoglobulin (IVIg) dan albumin mencukupi, berkualiti serta dapat diperoleh secara mampan dan berterusan untuk keperluan pesakit. Inisiatif berkenaan juga dilihat sebagai langkah ke arah meningkatkan keupayaan Malaysia mencapai tahap sara diri dalam pengeluaran produk berasaskan plasma.
Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2026 membawa tema “Setitis Darah, Demi Kemanusiaan; Derma Darah, Selamatkan Nyawa” atau “One Drop of Humanity. Give Blood. Save Lives”, sebagai penghormatan kepada penderma yang terus menyumbang secara konsisten bagi membantu menyelamatkan nyawa pesakit.
PDN turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sambutan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat PDN pada tahun ini, sekali gus memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pendermaan darah secara berterusan. – The Capital Post