KUBANG SEMANG 9 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kerja Raya (KKR) memperkukuh sokongan terhadap pembangunan pendidikan negara menerusi Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) KKR 2026 serta Program Semarak Kerjaya yang berlangsung di SMK Penanti, Pulau Pinang semalam, 8 Ogos 2026.
Majlis penyerahan sumbangan dan program berkenaan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Datuk Seri Azman bin Ibrahim, sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kemudahan pembelajaran, infrastruktur sekolah serta pembangunan sahsiah dan potensi pelajar.
Antara sumbangan utama yang disalurkan ialah 11 unit papan pintar (smartboard) lengkap dengan aksesori yang telah dipasang dan disertai latihan penggunaan kepada warga pendidik. Kemudahan tersebut bertujuan memperkukuh kaedah pengajaran serta menyokong peralihan kepada pembelajaran berasaskan teknologi digital.
Dalam usaha memastikan persekitaran sekolah kekal selamat dan kondusif, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) turut menyediakan peruntukan berjumlah RM297,000 bagi kerja-kerja menaik taraf serta penyelenggaraan bangunan SMK Penanti.
Sokongan daripada agensi kerajaan dan sektor korporat turut melengkapkan inisiatif tersebut. Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menyumbangkan 200 unit kerusi plastik, manakala Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menyampaikan sumbangan tunai sebanyak RM5,000.
-Advertisement-
Sementara itu, MantaSoft Sdn. Bhd. turut menyumbang empat unit komputer riba dan lapan unit komputer peribadi bagi membantu memenuhi keperluan pembelajaran digital para pelajar.
Selain peningkatan kemudahan fizikal, aspek pembangunan modal insan turut diberi perhatian menerusi sesi pengisian bertajuk “The Dos & Don’ts of Social Media” yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Psikologi Universiti Sains Malaysia (USM). Sesi tersebut memberi pendedahan kepada pelajar mengenai penggunaan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab.
Program Semarak Kerjaya pula menampilkan slot “Kompas Kerjaya: Personaliti dan Masa Depan” oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi IPD Timur Laut, selain taklimat berkaitan peluang melanjutkan pengajian tinggi oleh pihak USM bagi membantu pelajar membuat perancangan pendidikan dan kerjaya.
Inisiatif Sekolah Angkat MADANI KKR ini mencerminkan pendekatan Whole-of-Nation melalui kerjasama antara kementerian, agensi kerajaan dan sektor korporat dalam memperkukuh ekosistem pendidikan. Usaha tersebut diharap dapat menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih moden, selamat dan selesa, selain melahirkan pelajar yang berkemahiran serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan. – The Capital Post