PUTRAJAYA 12 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kerajaan terus memperkukuh agenda pembangunan ekonomi negara menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dengan memberi tumpuan kepada pertumbuhan yang inklusif, mampan serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih adil oleh rakyat.
Perkara tersebut antara yang dibentangkan oleh Menteri Ekonomi dalam sesi Pertanyaan Lisan Dewan Negara, Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas 2026, yang turut menekankan langkah kerajaan meningkatkan pendapatan pekerja dan memperluas peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Di bawah RMK13, kerajaan menyasarkan peningkatan sumbangan pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 40 peratus menjelang 2030. Sasaran itu akan disokong menerusi penggalakan inovasi, pendigitalan serta penggunaan teknologi termaju bagi meningkatkan produktiviti dan nilai pekerjaan.
Kerajaan turut memberi penekanan terhadap pelaburan berkualiti dan berimpak tinggi melalui pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
-Advertisement-
Dalam usaha meningkatkan taraf pendapatan pekerja, lima strategi utama turut diberi perhatian, merangkumi semakan gaji minimum secara berkala, peluasan Dasar Gaji Progresif, pengukuhan Sistem Upah Berkait Produktiviti (PLWS), pemerkasaan Majlis Perundingan Gaji Negara serta penyelarasan pelaksanaan menerusi RMK13.
Langkah tersebut dilihat penting bagi memastikan peningkatan produktiviti negara turut diterjemahkan kepada pertumbuhan pendapatan pekerja, selain memperkukuh daya tahan ekonomi isi rumah dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi.
Kerajaan juga akan terus memperkasa pembangunan bakat tempatan melalui pendidikan dan latihan, termasuk bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bagi melahirkan tenaga kerja yang memenuhi keperluan industri masa hadapan.
Usaha memperluas peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dengan tawaran gaji yang lebih kompetitif diharap dapat meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya saing tenaga kerja tempatan dan seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. – The Capital Post