Kementerian Ekonomi Perkukuh Kebajikan Warga Kerja

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 12 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Ekonomi terus memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan warga kerjanya menerusi Mesyuarat Majlis Bersama Jabatan (MBJ) Bilangan 2 Tahun 2026 yang menjadi platform perbincangan antara pihak pengurusan dan wakil pekerja.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, YBhg. Datuk Seri Nor Azmie bin Diron, selaku Pengerusi MBJ dan turut disertai barisan pengurusan kementerian, ahli-ahli MBJ serta wakil pihak pekerja.

Mesyuarat berkenaan turut mengalu-alukan kehadiran Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral) yang baharu, YBrs. Tuan Haji Nasaruddin bin Abdul Muttalib, yang menyertai barisan pengurusan dalam sesi perbincangan tersebut.

MBJ berperanan sebagai wadah komunikasi dua hala bagi membincangkan perkara berkaitan kebajikan, kesejahteraan serta prestasi warga kementerian secara terbuka dan konstruktif.

Selaras dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), Kementerian Ekonomi memberi penekanan terhadap hubungan kerja yang harmoni antara pihak pengurusan dan warga kerja menerusi komunikasi serta kerjasama yang berterusan.

-Advertisement-

Pendekatan tersebut diharap dapat memastikan pandangan dan keperluan warga kementerian diberi perhatian sewajarnya, di samping membolehkan langkah penambahbaikan dilaksanakan secara lebih berkesan.

Usaha memperkukuh kerjasama antara pihak majikan dan pekerja turut dijangka menyumbang kepada peningkatan motivasi, produktiviti serta kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

Kementerian Ekonomi komited untuk memastikan persekitaran kerja yang kondusif dan harmoni terus dipelihara sebagai asas kepada pembangunan organisasi serta penyampaian perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat. – The Capital Post