PUTRAJAYA 13 Ogos 2026 (The Capital Post) – Seramai 23 warga Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebagai penghargaan terhadap prestasi, disiplin serta komitmen tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab sepanjang tempoh perkhidmatan.
Pengiktirafan tersebut disampaikan dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Santunan Bakti KPK yang turut meraikan empat pesara kementerian atas sumbangan, pengorbanan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang berkhidmat kepada organisasi.
Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, berkata sumbangan warga kementerian merupakan antara elemen penting yang menyokong pencapaian sektor agrikomoditi negara.
Menurut beliau, sektor agrikomoditi pada 2025 menyumbang RM90.96 bilion atau 5.24 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia, meningkat 4.01 peratus berbanding tahun sebelumnya.
-Advertisement-
Beliau turut menyeru seluruh warga KPK supaya terus memperkukuh semangat berpasukan, meningkatkan kerjasama serta memanfaatkan teknologi secara berkesan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang pantas, berintegriti dan memenuhi keperluan rakyat.
Majlis tersebut turut menjadi wadah untuk menghargai jasa warga yang telah menunjukkan prestasi cemerlang, selain mengenang sumbangan para pesara yang telah menjadi sebahagian daripada pembangunan dan perjalanan KPK.
KPK merakamkan tahniah kepada seluruh penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025 serta menyampaikan penghargaan kepada para pesara atas segala jasa dan legasi yang ditinggalkan untuk terus menjadi inspirasi kepada warga kementerian. – The Capital Post