KLEBANG 13 Ogos 2026 (The Capital Post) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup bahan kimia yang disyaki digunakan sebagai prekursor pemprosesan dadah sintetik, dengan nilai keseluruhan hampir RM4.958 juta di perairan Klebang, Melaka.
Operasi yang dilaksanakan pada malam 11 Ogos lalu itu bermula apabila aset Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan rutin mengesan enam kotak dibalut plastik hitam di kawasan pesisir Pantai Klebang sekitar jam 9.06 malam.
Pemeriksaan mendapati kesemua kotak berkenaan mengandungi 67 botol cecair bahan kimia yang dipercayai mempunyai kaitan dengan proses penghasilan dadah sintetik. Nilai bahan tersebut dianggarkan hampir RM4.958 juta berdasarkan nilai pasaran gelap.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin bin Zakaria, berkata penemuan berkenaan merupakan rampasan kedua yang direkodkan pihaknya dalam usaha membanteras penyeludupan bahan berkaitan dadah melalui laluan laut.
Bagaimanapun, tiada individu berjaya ditahan di lokasi kejadian kerana suspek dipercayai telah meninggalkan bahan tersebut selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
-Advertisement-
Kesemua rampasan yang ditemukan sekitar jam 9.30 malam itu kemudiannya dibawa ke Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 susulan penglibatan bahan kimia terkawal yang dipercayai disalahgunakan bagi menghasilkan dadah berbahaya.
Maritim Malaysia turut menegaskan komitmen untuk mempergiatkan rondaan dan risikan serta memperkukuh kerjasama dengan agensi keselamatan lain bagi mengekang kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan melalui perairan negara. – The Capital Post