Malaysia Perkukuh Agenda Integrasi Ekonomi ASEAN

Estimate Reading Time: < 1 minute

MANILA 17 Ogos 2026 (The Capital Post) – Malaysia terus memperkukuh komitmennya terhadap agenda integrasi ekonomi ASEAN menerusi penyertaan delegasi negara dalam Mesyuarat Ketiga Pegawai-Pegawai Kanan Ekonomi ASEAN bagi Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-57 (SEOM 3/57) serta mesyuarat berkaitan yang berlangsung pada 7 hingga 9 Ogos 2026 di Metro Manila, Filipina.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Pengarah Kanan Bahagian Integrasi Ekonomi ASEAN, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), YBrs. Dr. Sugumari S. Shanmugam.

Antara agenda utama yang dibincangkan termasuk perkembangan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dinaik taraf, usaha memperkukuh keselamatan ekonomi ASEAN serta kemajuan Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan (PEDs) di bawah Kepengerusian ASEAN 2026 oleh Filipina.

Mesyuarat turut membincangkan perkembangan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang dijangka ditandatangani pada November 2026, sekali gus mencerminkan usaha berterusan ASEAN dalam memperkukuh kerjasama ekonomi digital serantau.

Malaysia turut terlibat dalam perbincangan berkaitan penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN, pengukuhan hubungan ekonomi ASEAN dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta kajian semula Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA).

-Advertisement-

Selain itu, delegasi Malaysia menyertai sesi konsultasi bersama rakan dialog ASEAN termasuk Australia, China, Jepun, Republik Korea, Amerika Syarikat, Rusia, India, New Zealand dan United Kingdom bagi meneroka peluang memperluas kerjasama ekonomi serta menangani cabaran dalam persekitaran ekonomi global yang dinamik.

Penyertaan tersebut memperlihatkan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh integrasi ekonomi, daya tahan rantaian bekalan dan daya saing ASEAN, di samping memastikan kepentingan serta keutamaan negara terus diberi perhatian dalam agenda ekonomi serantau.

Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan negara anggota ASEAN dan Sekretariat ASEAN dalam membentuk dasar serta inisiatif ekonomi yang inklusif, berdaya tahan dan responsif demi manfaat bersama. – The Capital Post